Perdebatan Mata Wang: Fiat vs Kripto
08/10/2022
Apabila kita berada dalam keadaan pasaran mata wang kripto yang sedang menuju ke puncak, terdapat ramai pemilik kripto berasa gembira seolah-olah mata wang fiat ini akan hilang dan pupus diganti kripto. Pertama sekali, kita mesti fahamkan apa definisi sebenar fiat, kripto dan mata wang.
Secara dasarnya, mata wang fiat ini adalah sejenis wang yang kita guna pakai setiap hari, ia merupakan satu wang kertas mahupun syiling yang dikeluarkan oleh bank pusat di setiap negara. Selain itu, ia juga merupakan mata wang yang sah untuk digunapakai dalam setiap jenis dagangan (pertukaran). Sebagai contoh, MYR di Malaysia, USD di Amerika Syarikat dan Won di Korea Selatan. Akan tetapi, mata wang kripto tidak dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa pusat atau entiti tertunggal, ia dihasilkan oleh beratus ribu komputer yang dikenali sebagai pelombong.
Duit pula dikenali sebagai medium pertukaran dan ia mempunyai pelbagai ciri-ciri, mari kita lihat seperti di bawah
- Tahan lama
- Mudah dibahagikan
- Mudah dibawa
- Diterima umum
- Bernilai seragam
- Penawaran Terhad
Semua mata wang fiat yang kita kenali pada hari ini mempunyai ciri-ciri tersebut seperti di atas, akan tetapi ciri yang ke-6 mungkin bercanggah sedikit. Penawaran Terhad di sini bukanlah bermaksud bahawa mata wang tersebut tidak akan bertambah penawarannya (supply), akan tetapi ia bertambah di dalam had yang dikawal oleh bank pusat supaya nilainya tidak merosot dalam jangka masa yang cepat. Kini kita sudah fahami ciri-ciri bagi mata wang fiat, bagaimana pula dengan kripto?
Mungkin anda akan terkejut apabila saya kata kripto ini mempunyai semua ciri-ciri sebuah “duit”, perkara ini tidak asing kerana memang ramai menganggap bahawa kripto adalah scam. Mari kita ambil contoh mata wang kripto yang pertama iaitu Bitcoin.
Ciri pertama iaitu tahan lama, sudah jelas lagi nyata bahawa Bitcoin mempunyai ketahanan yang lebih kuat dari fiat, hal ini kerana Bitcoin tidak mungkin dirosakkan seperti wang kertas yang boleh terkena kotoran dan carikkan. Selain itu, mudah dibahagikan, dalam kes Bitcoin, pengguna boleh membahagikan Bitcoin ke unit yang paling kecil iaitu Satoshi, 1 Satoshi = 0.00000001 BTC. Seterusnya, mudah dibawa, tidak boleh dinafikan bahawa teknologi blockchain membenarkan kita menghantar kripto ke mana-mana pelusuk dunia selagi kita mempunyai internet.
Dari segi diterima umum, sangat mudah, selagi mana anda mempunyai hot wallet, anda boleh menghantar dan menerima kripto tanpa halangan. Lebih-lebih lagi jika anda pergi ke negara El Salvador, negara pertama yang menjadikan Bitcoin sebagai mata wang yang sah didagangkan. Selain itu, terdapat sebuah pulau di Filipina, yang juga dikenali sebagai Bitcoin Island Phillipines, lebih 200 kedai yang menerima Bitcoin sebagai wang.
Seterusnya, bernilai seragam, seragam di sini bermaksud nilai yang sama dalam semua wang kertas. Contoh, RM20 wang kertas mempunyai nilai yang sama seperti RM20 dalam syiling. Bagi Bitcoin, ia mungkin mengelirukan kerana orang melihat nilai Bitcoin dalam USD ataupun MYR . Akan tetapi, kita melihat Bitcoin dari segi nilainya sendiri, walaupun turun naik Bitcoin berlaku dalam masa yang singkat, kita masih tetapkan bahawa 1 BTC = 1 BTC. Akhir sekali, Bitcoin mempunyai penawaran terhad sebanyak 21 juta unit sahaja, dan tidak sama sekali boleh berubah kerana telah diprogramkan dalam kod.
Inilah formula ajaib Bitcoin, kita akan ulas formula ini satu masa nanti!
Akhirnya, adakah kita boleh simpulkan bahawa Bitcoin dan mata wang kripto yang lain adalah duit? Saya berani mengatakan ya kerana ia mempunyai kesemua ciri-ciri sebuah duit walaupun banyak badan-badan antarabangsa yang membangkang. Ingat lagi apabila negara El Salvador ingin meletakkan Bitcoin sebagai mata wang yang sah? Mereka mempunyai hentaman yang hebat dari pakar-pakar ekonomi dan International Monetary Fund.
Jom kita lihat perbezaan mata wang fiat dan kripto.
Bayangkan, satu hari nanti ramai orang boleh membeli apa sahaja dengan mata wang kripto. Inilah apa yang Satoshi Nakamoto inginkan, beliau mencipta Bitcoin sebagai medium pembayaran alternatif untuk sesiapa sahaja yang tidak ingin menggunakan credit card (duit fiat). Sehingga hari ini, kita dapat melihat ada beberapa kedai yang menerima mata wang kripto seperti CryptoBilis, anda boleh beli barangannya dengan Ethereum. Tidak dilupkan juga, Bazaar Ramadhan tahun ini kita mempunyai sebuah gerai nasi beriyani yang menerima Bitcoin. #totheMOON
Itu sahaja untuk perkongsian mata wang kripto dan fiat, jumpa anda dalam artikel yang seterusnya!